SYEIKH DR. ALI JUM’AH MENGGALAKKAN ZIARAH MAQAM2 WALI ALLAH…..

Mufti Besar Mesir menegaskan bahawa ziarah kubur tidak bermaksud syirik dan kufur. Beliau berkata, “Ziarah Ahlul Bait Nabi (s.a.w) merupakan amalan yang paling dekat dan doanya berkemungkinan besar diterima Allah”.

Ali Jum’ah ketika memprotes ucapan beberapa pemimpin Salafi Mesir yang berhasrat ingin memusnahkan permakaman tokoh agama seperti makam kepala Saidina Husain berkata, “Ziarah kubur atau makam-makam tokoh dan orang-orang yang soleh tidak semestinya bermakna Syirik atau Kafir”.
Beliau menyebut tiga perkara asasi, “Andainya seseorang itu ingin berbicara tentang Ziarah, ia hendaklah tahu tiga masalah iaitu, pertamanya setiap amalan yang dilihat pada saudara seIslamnya hendaklah menjurus ke arah Tauhid dan Iman.

“Keduanya masalah antara Tawasul dan Wasilah adalah berbeza dengan Syirik. Allah (s.w.t) berfirman: «يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ» (Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah [Wasilah] yang boleh menyampaikan kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan- Al-Maidah ayat 35)”.

Beliau menerangkan maksud ayat ini sambil menegaskan bahawa Taqarrub kepada Allah dengan wasilah yang ditetapkan oleh Syara’, mengagungkan tanda kebesaran Allah dan apa sahaja yang Allah besarkan seperti tempat-tempat, waktu-waktu, individu-individu dan harta-harta adalah dibolehkan. Umat Islam mendekati Allah dengan berdoa di sisi makam Nabi (s.a.w) dan mencintai baginda.

Mengenai perbezaan pendapat tentang wasilah mendekatkan diri kepada Allah, ‘Ali Jum’ah berkata, “Kemungkinan ada pihak tidak sependapat terhadap Tawassul dengan kubur para Solehin, atau sujud di atas kubur, atau juga Tawaf di sekelilingnya sebagai Wasilah Taqarrub kepada Allah, namun mereka tidak boleh tukarkan orang dan tempat yang tidak sama pandangan dengan mereka ini dari daerah Wasilah ke daerah Syirik”.

Tentang masalah ke-tiga, Mufti Mesir berkata, “Terdapat perbezaan di antara penyebab dan Wasilah, dengan kepercayaan apa yang dikatakan sebagai Tuhan dan pemberi kesan. Contohnya umat Islam menganggap nabi Isa al-Masih adalah penyebab untuk menghidupkan orang mati, namun orang Kristian menganggap baginda sebagai tuhan dan pemberi kesan”.

Tambahan beliau lagi, “Oleh itu jikalau dilihat seorang muslim memohon nasib untung rugi kepada individu yang bukan Tuhan, hendaklah kita menganggap orang Islam ini berpendapat bahawa individu itu hanyalah sebab baik dan buruk, bukan Tuhan. Ini disebabkan umat Islam tahu dan beri’tiqad bahawa manfaat dan kebinasaan, keduanya berada di tangan Tuhan. Ia berada di kalangan makhluk memberikan baik dan buruk dengan izin Allah”.

Mufti besar Mesir ini menegaskan, “Ziarah Ahlul Bait Nabi (s.a.w) adalah amalan yang paling dekat, mempunyai lebih besar kemungkinan serta harapan diterima Allah. Nabi (s.a.w) telah mewasiatkan kepada umatnya tentang Ahlul Bait baginda dan Ziarah kubur. Baginda bersabda ‘Berziarahlah ke kubur, ia mengingatkan kematian’. Ziarah kubur yang lebih baik dari semua kubur ialah ziarah makam Rasulullah (s.a.w) di mana ziarah itu akan menyebabkan kecintaan dan kedekatan kepada Allah (s.w.t)”


 
Top