Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:
- Makan dan minum dengan sengaja
Makan dan minum secara sengaja membatalkan puasa. Namun, sesiapa yang makan atau minum kerana terlupa pada siang hari di bulan Ramadhan, puasanya tetap sah. Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Maksudnya:
”Sesiapa terlupa ketika berpuasa lalu makan atau minum, dia hendaklah meneruskan puasanya kerana Allah sendiri telah memberi makan dan minum kepadanya.”
- (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)-
- Keluar darah haid dan nifas
Apabila seorang wanita mengalami haid (keluar darah) di siang hari pada bulan Ramadhan walaupun hanya beberapa ketika atau di saat ingin berbuka, puasanya terbatal. Dia harus berbuka puasa tetapi perlu mengqadaknya pada bulan lain.
Aisyah r.a pernah ditanya mengenai keadaan wanita haid. Adakah dia perlu mengqadak puasa atau hanya mengqadak solatnya? Jawab beliau:
Maksudnya:
” Kami (isteri Nabi s.a.w) juga pernah mengalami perkara itu. Oleh itu, kami diperintahkan mengqadak puasa tetapi tidak disuruh mengqadak solat.”
- (Hadis Riwayat Muslim)-
- Muntah dengan sengaja
Sesiapa yang sengaja muntah seperti menjolok jari ke dalam mulut untuk mengeluarkan sesuatu, puasanya terbataldan wajib mengqadaknya pada bulan lain. Jika termuntah, puasanya tetapsah dan boleh meneruskan puasanya. Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya:
”Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja) dalam keadaan berpuasa, dia tidak perlu mengqadaknya. Tetapi sesiapa yang sengaja memuntahkannya, dia wajib mengqadak puasa.”
-(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)-
- Berjimak pada siang hari
Apabila seseorang telah melakukan jimak (persetubuhan), puasanya terbatal dan wajib mengqadak serta dikenakan kaffarah (denda) mengikut urutan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di daam Sahih al-Bukhari dan Muslim.
- Membebaskan seorang hamba yang beriman.
- Jika tidak menemuinya, wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut dan tidak boleh diselangi kecuali sebab-sebab yang dibenarkan dalam syarak seperti hari raya,sakit dan sebagainya. Jika dilakukan juga, dia perlu mengulangi jumlah hari seperti asal.
- Jika tidak mampu setelah berusaha melakukannya, dia hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin.
Ulama berbeza pendapat mengenai isteri yang tidak redha dengan permintaan suami untuk bersetubuh. Pendapat paling tepat, dia hanya perlu mengqadak puasanya sahaja dan tidak dikenakan kaffarah.
- Mengeluarkan air mani dengan sengaja
Sesiapa yang mengeluarkan air mani secara sengaja pada siang hari bulan Ramadhan, puasanya terbatal dan wajib mengqadaknya pada bulan lain.
Mengenai air mani yang terkeluar disebabkan mimpi, puasanya tidak terbatal kerana bukan dari kehendaknya. Oleh itu, dia hanya perlu mandi junub dan meneruskan puasanya.
Selain itu, sesiapa yang mencium atau memeluk isterinya tetapi air mani tidak terkeluar, puasanya tetap sah. Aisyah r.a berkata:
Maksudnya:
” Rasulullah s.a.w biasa mencium dan memeluk isterinya dalam keadaan berpuasa. Tetapi, baginda adalah orang yang paling kuat menahan nafsunya.”
- ( Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)-
Termasuk sunnah baginda s.a.w melewatkan mandi junub selepas bersetubuh dengan isterinya. Kadangkala, baginda mandi junub ketika azan subuh sedang dilaungkan.
f. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga hingga sampai ke halkum atau perut..
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja dan tidak ada beza sama ada yang boleh dimakan atau tidak, termasuklah jugalah dalam kategori ini orang merokok. Ijma’ ulama mengatakan terbatal puasa.
g. Gila.
Gila atau pengsan, sekiranya berlaku sepanjang hari dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal puasanya.
h. Murtad, iaitu kluar daripada Agama Islam.
Ulama’ bersepakat bahawa sesiapa yang murtad maka batallah puasanya dan wajib qadha’ hari yang ia murtad, sekiranya ia kembali memeluk Islam.
i. Pengsan sepanjang sehari
Gila atau pengsan, sekiranya berlaku sepanjang hari dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal puasanya.
Sumber Rujukan:
1. Pendidikan Islam, Sasbadi.
2. Tazkirah Ramadhan oleh Kumpulan Karangkraf